Wednesday, 22 July 2015

"Walau untuk seketika, terima kasih kerana pernah ada.."

Sumber gambar: http://quotesfans.com/winnie-the-pooh-quotes-tumblr/


Hari ini aku buka blog Wen. Aku melihat entry terbarunya... Dia juga terseksa seperti aku. Tapi aku tau... dia jauh lebih menderita daripada aku. Tersepit di antara harapan keluarga dan desakan saudara-mara yang tidak merestuinya untuk mengikat tali perhubungan dengan sepupu sendiri. Oleh sebab itu aku cuba mengundur diri... cuba menjadi hanya seorang abang kepada diri Wen. Sakit itu sudah pasti. Tapi daripada melihat Wen menderita sakit... aku rela mengundurkan diri. Aku tidak mahu dia terus rasa bersalah disebabkan hubungan yang kami cuba bina dengan ikatan yang halal tidak kesampaian.

Sakit
Nak melepaskan apa yang dah lama kita genggam.

Tapi lagi sakit, bila terus menggenggam sesuatu yang tak pasti.
Lepaskanlah.

Redha.
Jika Allah takdirkan sesuatu tu untuk kita, insyaAllah, ianya akan
datang juga.

Jika tidak, bermakna ia bukan untuk kita.
"walau untuk seketika, terima kasih kerana perah ada.."

Inilah yang tertera pada blog Wen. Aku menahan rasa sebak di hati. Aku tidak mahu ada orang melihat air mataku jatuh berderai. Allahu... hatinya lebih terseksa daripada aku Ya Allah... Engkau kuatkanlah hatinya... Lindungilah dirinya daripada segala hasutan syaitan yang direjam... Engkau leraikanlah segala masalah yang menimpanya Ya Allah... Sesungguhnya hanya pada-Mu hamba yang kerdil lagi hina ini memohon pertolongan Ya Allah. Hanya Engkau yang mampu menolongnya... Aku tak mampu menolongnya... Aku hanyalah orang luar yang tidak punya hak dalam mencampuri urusan keluarganya...

Saturday, 18 July 2015

Takdirku telah tertulis...

Sumber gambar: https://www.pinterest.com/jadeh1998/little-box-boy/


Tidak pernah terduga hati yang cuba ditutup rapat pada mulanya menerima kunjungan insan yang tidak diduga. Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman buat peneman hidup. Hati yang tertutup rapat daripada sesiapa mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan. Sungguh tidak ku duga perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan. Hati mana tidak berbunga harapan. Ku sambut tali itu dengan penuh harapan. Adakah dia yang kucari selama ini?

Tapi sayang, belum sempat aku menggapai tangannya untuk berada di sisinya, genggamanku terlepas. Ada duri tajam yang tersemat di penghujung tali tersebut. Mungkin insan itu sendiri tidak menyedari adanya duri pada tali tersebut.  Aku cuba memaut tali itu berkali-kali namun aku tetap tidak dapat berganjak dek kerana duri tajam yang menghalang. Tangan yang menggenggam sudah berdarah. Mungkin sudah takdirku, aku hanya mampu memanjat setakat itu. Mungkin aku patut berserah pada takdirku yang telah tertulis. Aku sudah mencuba semampu yang boleh untuk menggapai tangannya. Namun tidak kesampaian. Aku tidak menyalahkan insan tersebut yang sudi menolongku. Jika bukan kerana tali ikatan yang dihulurkannya, aku mungkin masih bersembunyi di sebalik pintu hatiku. Aku bersyukur kepada Allah kerana mempertemukan aku dengan insan sepertinya, walaupun pertemuan itu tidak menyatukan hati kami dalam satu ikatan.

Rasa cinta yang menginap di hati jua satu ujian. Dihadirkan perasaan itu, disirami dengan kasih sayang dan dijauhkan pula dari mendapatkannya. Maka diuji dengan harapan yang kian punah dan impian yang kian lebur.

Tika hati telah kecewa dan lemah, syaitan cuba mengambil peluang. Aku cuba sedaya upaya menepis setiap godaan. Aku cuba untuk redha walaupun kenyataan itu pahit untuk ditelan. Aku percaya bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita. Begitu jua lah sebaliknya.


Firman Allah S.W.T,
"Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal."
(Surah al-Taubah 9: 51)


Aku yakin pada perancangan-Mu yang telah Engkau tetapkan buat diri ini Ya Allah... Aku akan kuat, insyaAllah.


"Kusapu air mata yang terbit dari rasa kecewa. Aku terluka dan merana tentunya Dia mengetahui. Aku akan ganti perasaan itu dengan redha dan tawakal. Berdoa pada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang. Dia yang memiliki segalanya. Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya."

Thursday, 16 July 2015

Harapanku terkulai layu di hadapan takdir...

16 Julai 2015

Aku terlambat menyatakan cinta...

Malam itu Wen mesej aku. Dia bertanya kepada aku, apa aku ada menghantar mesej kepada bapanya. Aku jawab ya..dan kenapa? Wen memberitahuku apa yang bapanya katakan kepada dia apabila menerima mesejku itu. Bapanya tidak mahu aku berharap dengan Wen lagi.. dan kalau aku masih berharap dia nak aku berhenti menghubungi Wen, takut aku makin kecewa... 
Bapanya sangat baik dengan aku.
Wen memberitahu lagi bahawa bapanya akan membalas mesejku nanti.


Penantianku berakhir juga... tepat 9:18 malam, aku menerima maklum balas daripada bapa Wen. Ku buka mesej itu dengan penuh harapan walaupun aku sudah tahu mesej itu akan berbunyi bagaimana...


"Waalaikumussalam, tqvvm kerana sudi sms pakcik, maaf pakcik lambat balas kerana dalam perjalanan raya ke kampung. Pakcik juga mohon maaf kerana menghampakan Shahrin, sebenarnya Shahrin lambat sedikit, sebelum Shahrin menyatakan niat mulia Shahrin kepada pakcik, Wen telah dirisik oleh keluarga pakcik dan pakcik dah terima, kalau Shahrin lebih awal mungkin Shahrin jadi pilihan pakcik, mungkin bukan jodoh, semoga Shahrin dapat jodoh yang lebih baik, tqvvm kerana jadikan Wen adik angkat, kalau nak bercakap dengan pakcik jangan segan ya, boleh sms/call pakcik. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin, salam untuk keluarga Shahrin dari pakcik dan sekeluarga."  

Gara-gara aku terlambat menyatakan rasa cintaku kepada Wen.. gara-gara aku menyimpan perasaanku kerana takut cintaku ditolak.. gara-gara aku malu dalam menyatakan rasa cintaku kepada dia...
Aku dan Wen tidak dapat bersatu!!!
Allahu...

Benar kata orang tua-tua dahulu...

"Jangan tunggu lama-lama... nanti dia diambil orang!"

Maafkan aku Wen... ini semua salahku. Tapi aku ingin redha dengan takdir ini. 


Allah S.W.T berfirman,
“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”
(an-Nur':26)

Yaa... mungkin aku tidak cukup baik buat Wen.
Wen seorang perempuan yang sangat baik bagi aku. Punya agama, punya keluarga yang baik, punya rupa dan punya akhlak yang tinggi. Sebab itu aku menyayangi dirinya...menyukai dirinya.

Tapi...

Aku cuma lelaki biasa.

Apa mungkin ini penamat cinta kita?

Sejujurnya aku tidak tahu...

Usaha terakhir...


16 Julai 2015

Masihkah aku punya harapan...?

Selepas mendapat perkhabaran tersebut hatiku tidak tenang seperti biasa... setiap saat lautan di dalam hatiku bergelora dengan kuatnya. Apa harus aku lakukan? Apa harus lakukan? Apa harus aku lakukan? Hampir setiap masa persoalan itu menghantui diriku...
Ya Allah... buat pertama kalinya aku tidak tenang... menghadapi UPSR, PMR dan SPM juga tidak begitu. Semasa temuduga kemasukan ke maktab juga tidak begitu... apa saja ujian dalam hidup yang kuhadapi sebelum ini,
tidak pernah perasaan ku bergolak sehebat hari ini.

Malam itu, aku membuat solat sunat istikharah sebelum aku tidur. Aku ingin memohon pertolongan daripada Allah untuk membuat keputusan. Bukan malam ini sahaja aku pernah melakukan solat istikharah... sebelum-sebelum ini juga aku ada melakukannya. Semasa aku mengambil keputusan serius untuk mendekati Wen.

Pagi itu...seakan aku punya semangat juang yang tinggi. Yaa... aku ingin menghubungi bapanya sekali lagi. Aku ingin bapanya memberikan peluang buat aku. Peluang untuk aku bersaing memiliki Wen. Niat di hati ingin menelefon tetapi niat itu terbantut kerana keluarga Wen dalam perjalanan ke Semporna, menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana. Aku pula terkurung di kolej kediaman ini... tidak mampu pulang beraya sekali lagi pada tahun ini. Tidak punya duit untuk terbang menyeberangi Laut China Selatan. Aku mengambil keputusan untuk sms bapanya sahaja tentang niatku itu. Aku tidak memberitahu Wen akan perkara itu.
Ku buka buat pesanan baharu di dalam telefonku, jariku mula lincah menaip di atas kekunci telefon Sony Ericsson ku yang sudah uzur itu.

"Assalamualaikum pakcik... minta maaf mengganggu. Saya dah dengar daripada Wen yang dia akan ditunangkan bulan 9 nanti. Saya tak sangka secepat itu. Selepas berbincang dengan pakcik hari tu, saya sentiasa berdoa supaya dijodohkan dengan Wen. Saya solat istikharah meminta petunjuk. Saya nampak Wen... saya tahu pakcik nakkan yang terbaik buat Wen. Saya cuma berharap pakcik pertimbangkan saya sekali lagi.. Saya minta maaf sekali lagi menyusahkan pakcik.. Saya tau kalau jodoh tak ke mana, tapi kalau saya tak usaha memang saya takkan dapat.."

Ku tekan butang hijau untuk menghantar mesej tersebut. Tak sampai 1 minit tertera perkataan delivered pada skrin telefonku. Aku mula berdebar menanti balasan daripada bapa Wen.
 Lama ku tunggu tapi balasan itu tidak kunjung tiba.

Aku merenung ke langit, lalu menyoal diriku sendiri... 

"Masihkah aku punya harapan...?"

Wednesday, 15 July 2015

Mencintai tidak semestinya dapat memiliki...

Akhirnya berita yang aku takuti menjadi realiti juga...

Tanggal 15 Julai 2015, pada pukul 10:25 pagi, bagaikan luruh seluruh jantungku mendengar perkhabaran itu...
Bumi ku rasakan berhenti berputar sekali lagi. Masa seolah-olah terhenti..
Apabila melihat Wechat yang dihantar oleh Wen tertera pada skrin smartphone ku, "Abang S...Bulan 9 ni.. Dia datang rumah nak bertunang dengan aku... hmmm." Boooommmmm!!! Seakan-akan ku rasakan bom nuklear dijatuhkan tepat kepada aku... Allahu. berat sungguh dugaanmu kepada aku dan Wen di bulan Ramadhan ini...
Lidahku jadi kelu... fikiranku bercelaru... badan terasa lemah longlai..
Ya Allah berikanlah aku kekuatan...
Aku rasa tidak mampu ya Allah...
Mengenangkan orang lain yang akan menyarungkan cincin di jarinya...
Orang lain yang akan membina ikatan bersamanya...
Orang lain yang akan bersamanya... Bukan aku!
Allahu...
Air mataku jatuh berderai lagi... kali ini lebih deras...

Ya Allah...
Jika ini ujianmu buat aku dan dia untuk menyatukan kami di kemudian hari, Aku sanggup menghadapinya ya Allah...

Ya Allah...
Jika kami mempunyai jodoh antara satu sama lain, satukanlah kami... jangan cerai-beraikan kami...

Ya Allah...
Jika ini memang sudah takdirmu buat hamba ini... hambamu akan terimanya dengan redha.. Kuatkanlah hati hamba-Mu ini bagi menghadapinya...Kuatkanlah juga hatinya bagi menerima ketetapan-Mu Ya Allah...
Engkau jodohkanlah dia dengan lelaki yang baik-baik.. yang mampu membahagiakannya, menjaganya, memanjakannya, dan membimbingnya ke syurga-Mu...

Ku mohon Ya Allah... Kabulkanlah permintaanku...

Ameen Ya Rabb Al Alameen (آمين يا رب العالمين)

Tuesday, 14 July 2015

Maaf nak... pak cik tahu kamu orang yang baik tapi pak cik...


Kita hanya mampu merancang.


Minggu exam pun tiba tapi entah kenapa aku tidak merasakan perasaan yang selalu dirasai seorang pelajar apabila exam tiba. Aku tidak memikirkan semua itu. Apa yang ada di fikiranku hanyalah perasaan gementarku untuk menelefon bapa Wen. Perasaanku bercampur baur... adakah bapanya garang, baik atau.... adakah aku akan diterima, bagaimana kalau aku tidak diterima. Ya Allah berilah aku kekuatan untuk menelefon bapanya. Sesungguhnya aku betul-betul menyayangi dirinya dan ingin menjadi pasangan hidupnya.


Namun setelah exam habis, saat aku telah bersedia untuk menelefon bapanya, Wen meminta aku tangguhkan niat itu terlebih dahulu. Wen telah berbincang dengan ibunya tentang hubungan kami. Ibu wen meminta kami tidak berbuat apa-apa dahulu. Katanya masih terlalu awal untuk aku membincangkan perkara ini dengan bapa Wen. Tunggulah masa yang sesuai. Aku pun menarik nafas lega kerana tidak perlu menelefon bapanya. Namun aku rasa tidak sedap hati. Aku merasakan sesuatu bakal menimpa aku dan Wen.


Cuti bermula...


Wen terlebih dahulu pulang ke kampung kerana kertas ujian yang diambilnya habis awal. Aku pulang selang beberapa hari kemudian. Aku menetap sementara di rumah datuk di Labuan kerana ada saudara mara sebelah mamaku berkahwin. Pada ketika itulah aku menerima berita buruk daripada Wen. Aku terduduk layu saat mendengar perkhabaran tersebut. Wen akan ditunangkan dengan sepupunya. Ya Allah.. hanya Allah yang mengetahu perasaan saat aku mendengar perkara itu daripada mulut Wen sendiri. Dunia seakan berhenti berputar seketika. Sekelilingku terasa sunyi sepi. Namun aku cepat-cepat beristighfar menguatkan hati menerima kenyataan tersebut. Aku berpura-pura kuat supaya Wen tidak terlalu sedih. Dia menyalahkan dirinya kerana menyukai aku... aku bertambah sedih melihat dia menyalahkan dirinya. "Aku akan tetap telefon bapamu dan meminta izinnya untuk berkawan dengan kau Wen," ujarku kepada Wen seakan-akan cuba memujuk dirinya. Aku berpura-pura kuat lagi. Sedangkan saat itu ku rasakan lututku longgar, menunggu masa jatuh berlutut di tanah. Allahu... Allah Maha Besar... Lalu aku meminta Wen memaklumkan kepada bapanya bahawa akau ingin menelefonnya. Bapa Wen bersetuju dan meminta aku menelefon pada jam 8 malam.


Seusai solat Isya', tepat pada jam 8 malam, aku mengambil telefonku dan mencari nombor bapanya... Pak Cik D. Lalu ku tekan butang hijau pada telefon Sony Ericsson ku. Dalam talian kedengaran bunyi toot… toot … toot ... toot... Namun tidak diangkat. Aku berkata di dalam hati," Ahh apa mungkin dia masih belum selesai solat Isya'". Aku bercadang menunggu dalam 5 minit sebelum aku cuba menelefon lagi. Namun tidak lama selepas itu telefonku ku berdering. Tertera di atas skrin nama bapa Wen, 'Pak Cik D' sedang menelefonku. Jantungku berdegup kencang tiba-tiba. Ku tarik nafas sedalam yang boleh. Ku tekan butang hijau untuk mengangkat panggilan tersebut..
"Hello.. assalamualaikum," kedegaran suara tua namun lembut di hujung sana.

"Waalaikumussalam...," balasku.
"Minta maaf nak, pak cik baru selesai solat," perjelas bapa Wen.
"Tak apa pak cik..dah agak pak cik masih solat...," tepat jangkaanku.
"Nama anak Shahrin kan," soalan pertama yang keluar daripada mulutnya.
"Ya pak cik, Mohd Shahrin bin Basni. Orang Limbang. Tapi saya sekarang di Labuan di rumah datuk," jawabku panjang lebar.
"Owh.. pak cik pun ada saudara yang kahwin dengan orang Labuan," balasnya spontan.
"Pak cik, pak cik tahu kan kenapa saya hendak menelefon pak cik. Saya nak meminta izin berkawan dengan Wen," aku menyatakan tujuanku.
"Iya nak.. pak cik tahu. Tapi mesti kamu dah dengar dari mulut Wen sendiri kan," katanya.
"Iya pak cik, Wen sudah cerita... pak cik sudah merancang untuk menyatukan dia dengan sepupunya," terasa berat untuk menyebut perkataan 'menyatukan' itu.
"Maaf nak... pak cik tahu kamu orang yang baik tapi pak cik sudah dibagi wasiat oleh arwah bapa pak cik. Pak cik perlu kahwinkan anak pak cik dengan salah seorang sepupunya," jelasnya kepadaku.
"Pak cik tahu kamu betul-betul sayangkan Wen. Pak cik terharu ada orang yang betul-betul sayangkan anak pak cik. Tapi kamu dah terlambat nak, sepupunya sudah bertanya," sambungnya lagi. Aku terdiam seribu bahasa. Lidahku kelu.
"Kalau pak cik ada seorang lagi anak perempuan sudah pasti pak cik ambil kamu jadi menantu pak cik," katanya cuba ambil hatiku mungkin. "Pak cik, aku sayangkan Wen, tak kan aku tergamak hendak mengahwini adiknya," gumam hatiku.
"Jangan sedih ya nak.. Kalau ada jodoh tak ke mana nak..pak cik yakin kamu akan dapat yang lebih baik daripada Wen," cuba menenangkan hatiku. "Sedih tu sudah pasti la pak cik... aku sayangkan dia.. ya betul kata pak cik, kalau ada jodoh tak ke mana," aku tak mampu hendak berkata apa-apa. Apa lagi mahu marah, aku masih punya agama, akal. Dia bapa Wen, pasti mahu yang terbaik buat anaknya.
"Pak cik tahu kamu selalu tolong dia di maktab, pak cik berterima kasih sangat-sangat. Harap lepas ni kamu anggaplah Wen sebagai adik kamu," tambahnya lagi. "Adik??? Bagaimana aku hendak menganggap dia sebagai adik setelah aku menyayangi sebagai seorang perempuan... Allahu...," luahku di dalam hati.
"InsyaAllah pak cik.. kalau jodoh tak kan ke mana. Pak cik tak kisah ka aku anggap dia macam adik?" soalku. "Pak cik tak kisah... tolong-tolonglah dia ya di maktab sana," jawabnya. "InsyaAllah pak cik..," janjiku.
"Nanti pak cik akan jemput kamu ke majlis Wen, datang yaa," katanya. Seakan ku rasakan petir memanah jantungku.. ya Allah sakitnya ku rasakan. Aku tau kata-kata itu bukan bertujuan menyakiti hatiku, tapi kata-kata itu menambah garam pada lukaku. Huhuhu.. Terasa air panas mengalir keluar dari hujung mataku jatuh ke pipi. "InsyaAllah pak cik saya akan datang...," balasku menahan kesedihan di hati. "Okee jangan sedih ya nak.. pasti ada yang lebih baik buat kamu.. Assalamualaikum," katanya mengakhiri perbualan. Selajur aku membalas salam, "Waalaikumussalam pak cik."

Tangisan redha...


Seusai sahaja aku mengakhiri perbualan tersebut, aku terus menelefon Wen. Aku menceritakan kepadanya tentang perbualanku bersama bapanya. Dia menangis lagi. Aku cuba menenangkan hatinya dan berkata kepada, "Wen jangan lah menangis... mungkin kita tak dijodohkan di dunia, tapi di akhirat siapa tahu." Saat aku mengatakan perkara tersebut, aku terasa suaraku bergetar...menahan tangisan dan kesedihan yang ditanggung. Allahu...


Malam itu aku menangis... setelah sekian lama air mata itu tidak mengalir keluar. 


Aku cuba berfikir positif. Mereka masih tiada hubungan. Mungkin kami masih boleh mengubah sesuatu. Iya... dengan berdoa kepada-Nya. Ya Allah... jodohkanlah aku dengan dirinya.. Jika benar kami tiada jodoh, jodohkan dia dengan lelaki yang baik-baik, lebih baik daripada aku, yang mampu memberikan dia kebahagiaan dan membimbingnya ke syurga-Mu... 


Ameen Ya Rabb Al Alameen (آمين يا رب العالمين)





Minta izin daripada bapaku jika betul-betul menginginkan aku...



Bertahan kerana kesetiaan.

Aku berfikir seketika... apa salahnya aku mencuba peluang ini. Mana tahu dia betul-betul menyukai aku seperti mana aku menyukai dirinya.
Aku bertanya kepada Miss M, "Harus bagaimana aku hendak memberitahu Wen yang aku menyukai dia."
"Berterus terang sahaja... bila dia tanya siapa orang yang kau minat, kau beritahu dia "Wen lah orang yang aku minat...".
Selajur aku mengatakan aku bukan jenis yang boleh kata begitu kepada orang yang aku minat.
"Kalau begitu kau tulis saja surat kepadanya. Surat yang romantis penuh kata-kata gramatis" Miss M memberikan idea kepadaku.

Aku mendapat idea bagaimana hendak memberitahu Wen perasaanku kepadanya. Yaa.. aku akan membuat 3 origami bunga ros yang ditenggelami bintang-bintang di dalam satu bekas. Mulanya aku ingin memberikan bunga ros. Aku cuba search di Google, apa makna pemberian di sebalik bunga ros. Aku terbaca di satu blog, aku tertarik dengan maksud pemberian 13 bunga ros iaitu peminat rahsia atau secret admirer. Yaa cocok sekali buat aku, aku telah lama meminati Wen secara diam-diam. Ros merah pula bermaksud lambang cinta, keberanian, penghargaan, romantik, dan kehangatan. Tapi aku tidak punya duit untuk membeli bunga ros... lalu aku terfikir menggantikan bunga ros itu dengan origami bunga ros. Aku hanya mampu membuat 3 origami bunga ros yang bermaksud "I Love You". 13 bunga ros merah aku gantikan dengan 13 bintang merah yang aku selitkan klu siapa aku yang meluahkan perasaan kepada dirinya. Aku akan sertakan sekali surat khas yang aku karang sendiri kepadanya. Bukan sesenang yang ditunjukkan di dalam youtube rupanya membuat origami bunga ros ini. Berpeluh dingin juga dibuatnya...
Setelah siap semuanya, aku serahkan kepada Miss M untuk meletakkan bekas berisi bintang-bintang, 13 bintang merah dan juga 3 origami bunga ros yang melambangkan beserta satu sampul surat di dalam bilik Wen tanpa disedarinya.
Malam itu aku tidak keruan. Menunggu balasan daripada Wen. Kulihat smartphone ku, ada chat daripada wen. Tapi dia hanya chat dengan aku sepertia biasa. "Ahh..mungkin dia tidak perasaan ada hadiah buatnya di atas meja belajarnya," pujuk hatiku. Malam itu berlalu begitu sahaja.

Keesokan harinya dia memberitahu aku bahawa dia ada terima hadiah tapi masih belum membukanya. Aku berpura-pura tidak tahu dan berkata kepadanya, "Mungkin peminat rahsia kamu." "Ahh... bukanlah. Siapa juga yang minat aku," balasnya. "Aku...aku yang minat kamu Wen," jerit hatiku.

Tidak lama kemudian dia memberitahuku, dia sudah membaca suratku. Dia seakan tidak percaya aku suka kepada dirinya. Dia menganggap aku menyukai orang lain iaitu Miss L. "Aku hany menganggap Miss L tidak lebih daripada seorang adik," ujarku kepada Wen. Lalu aku meminta balasan daripadanya... Wen meminta aku memberikan dia masa. Selang beberapa hari, aku mendapat balasan daripadanya. Wen memberikan aku Wechat Timbul-timbul... hehe 


Katanya jika betul menginginkan dia untuk menjadi pasangan hidup, aku perlu meminta izin daripada bapanya. Dia memberikan sekali nombor telefon bapanya. Selajur aku berjanji kepadanya, "InsyaAllah lepas exam aku akan menelefon ayahmu. Doakan ayahmu memberi keizinan." Mulai hari tersebut hubungan kami menjadi lebih rapat. Walau apa pun yang berlaku kami saling mempercayai. Namun aku masih risau akan jawapan daripada bapanya.

Bersambung...