Sumber gambar: https://www.pinterest.com/jadeh1998/little-box-boy/
Tidak pernah terduga hati yang cuba ditutup rapat pada mulanya menerima kunjungan insan yang tidak diduga. Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman buat peneman hidup. Hati yang tertutup rapat daripada sesiapa mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan. Sungguh tidak ku duga perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan. Hati mana tidak berbunga harapan. Ku sambut tali itu dengan penuh harapan. Adakah dia yang kucari selama ini?
Tapi sayang, belum sempat aku menggapai tangannya untuk berada di sisinya, genggamanku terlepas. Ada duri tajam yang tersemat di penghujung tali tersebut. Mungkin insan itu sendiri tidak menyedari adanya duri pada tali tersebut. Aku cuba memaut tali itu berkali-kali namun aku tetap tidak dapat berganjak dek kerana duri tajam yang menghalang. Tangan yang menggenggam sudah berdarah. Mungkin sudah takdirku, aku hanya mampu memanjat setakat itu. Mungkin aku patut berserah pada takdirku yang telah tertulis. Aku sudah mencuba semampu yang boleh untuk menggapai tangannya. Namun tidak kesampaian. Aku tidak menyalahkan insan tersebut yang sudi menolongku. Jika bukan kerana tali ikatan yang dihulurkannya, aku mungkin masih bersembunyi di sebalik pintu hatiku. Aku bersyukur kepada Allah kerana mempertemukan aku dengan insan sepertinya, walaupun pertemuan itu tidak menyatukan hati kami dalam satu ikatan.
Rasa cinta yang menginap di hati jua satu ujian. Dihadirkan perasaan itu, disirami dengan kasih sayang dan dijauhkan pula dari mendapatkannya. Maka diuji dengan harapan yang kian punah dan impian yang kian lebur.
Tika hati telah kecewa dan lemah, syaitan cuba mengambil peluang. Aku cuba sedaya upaya menepis setiap godaan. Aku cuba untuk redha walaupun kenyataan itu pahit untuk ditelan. Aku percaya bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita. Begitu jua lah sebaliknya.
Firman Allah S.W.T,
"Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal."
(Surah al-Taubah 9: 51)
Aku yakin pada perancangan-Mu yang telah Engkau tetapkan buat diri ini Ya Allah... Aku akan kuat, insyaAllah.
"Kusapu air mata yang terbit dari rasa kecewa. Aku terluka dan merana tentunya Dia mengetahui. Aku akan ganti perasaan itu dengan redha dan tawakal. Berdoa pada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang. Dia yang memiliki segalanya. Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya."

No comments:
Post a Comment